Tak perlu subjek baru
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
2010/04/21
KUALA LUMPUR: Pendidikan seks secara khusus di sekolah tidak diperlukan kerana sudah ada dalam Pendidikan Islam dan Moral, cuma tidak diperjelaskan dengan baik, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, yang penting dalam pendidikan seks itu ialah untuk mengawal nafsu dan bukan menurutinya, malah masalah sosial seperti pembuangan bayi sekarang adalah disebabkan kegagalan mengawal nafsu.
“Kita kena tahu dulu makna pendidikan seks. Sebenarnya dalam (pendidikan) agama Islam sudah ada pendidikan seks itu, tinggal lagi tak diperjelaskan dengan baik.
“Jadi, kalau kita nak adakan pendidikan seks khas, saya fikir tak berapa perlu. Dalam ajaran agama itu kita boleh masukkan ajaran yang menentukan anak kita faham dan tak terpengaruh dengan nafsu saja.
“Mereka kena kawal nafsu. Seseorang itu perlu mengawal dirinya, disiplin dan nafsu, kerana itu sebahagian daripada ajaran Islam, kita tak boleh ikut nafsu. Agama di sekolah kena masukkan unsur ini,” katanya selepas memberi ucaptama pada Multaqa Bersama Guru Pendidikan Islam dan Warga Perkim Zon Tengah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, semalam.
Subjek pendidikan seks dicadangkan sesetengah pihak untuk diperkenalkan di sekolah berikutan masalah sosial seperti kes buang bayi yang semakin serius. Namun, banyak pihak berpendapat ia hanya perlu diterapkan dalam mata pelajaran sedia ada tanpa perlu subjek khas.
Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini menegaskan satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung polisi pendidikan seks di sekolah. Menurutnya, kementerian belum lagi membuat keputusan kerana ia perkara besar dan dinantikan bukan saja oleh kementerian tetapi pelajar, ibu bapa dan masyarakat, sekali gus perlu memperhalusi dan mengambil kira semua pandangan.
Tuesday, April 20, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)