Tuesday, October 6, 2009

Doktor wanita diugut siar gambar bogel

JENAYAH
Doktor wanita diugut siar gambar bogel
SHAH ALAM 6 Okt. - Seorang doktor wanita kini hidup dalam ketakutan apabila seorang lelaki keturunan Arab yang dikenalinya menerusi Internet mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya jika gagal membayar hampir RM10,000.

Menurut ibu tunggal itu, lelaki Arab yang dikenalinya sejak tiga bulan lalu dipercayai telah memasukkan pil khayal ke dalam minumannya sebelum merakam gambar bogel mangsa ketika datang untuk makan malam di rumahnya di USJ, Subang Jaya pada Sabtu lalu.

Mangsa yang berusia 35 tahun serta mempunyai dua orang anak itu menyedari dirinya telah ditipu oleh suspek apabila tersedar pada keesokan hari dan berada dalam keadaan bogel.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan, mangsa turut kehilangan barangan kemas bernilai lebih RM2,000.

Katanya, sebelum kejadian, suspek yang berusia 35 tahun membancuh kopi untuk mangsa. Pihaknya percaya lelaki itu telah memasukkan pil khayal dalam minuman tersebut dan menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

"Mangsa hanya sedarkan diri keesokan hari dan mendapati barangan kemas seperti rantai dan barang perhiasan lain telah hilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis jamuan hari raya Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Supritendan Che Hussein Omar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Tambah Hasnan, ketika kejadian, kedua-dua anak mangsa tiada di rumah.

Beliau berkata, suspek juga telah menghubungi mangsa semalam dan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel mangsa jika gagal membayar wang sebanyak RM9,600.

Ditanya sama ada mangsa dirogol, beliau memberitahu, mangsa belum membuat sebarang laporan atau memaklumkan dirinya dirogol oleh suspek.

Bagaimanapun, katanya, polis sedang memburu suspek termasuk meneliti rekod kemasukannya ke negara ini. Selain itu, pihaknya juga akan mengkaji kandungan minuman bagi mengenal pasti ubat atau serbuk yang diberikan kepada mangsa.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut.

No comments: