Tuesday, October 6, 2009

Wanita Uzbek mampu raih RM100,000 sebulan

LAPORAN KHAS

ARKIB : 05/10/2009

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Jangan terkejut sekiranya ada di antara wanita Asia Tengah, khususnya Uzbekistan yang datang ke negara ini untuk tujuan melacur, mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM100,000 sebulan.

Anggaran ini dibuat daripada caj perkhidmatan yang dikenakan wanita 'pipi merah' itu iaitu antara RM1,000 dan RM1,500 bagi setiap sesi dengan mengambil kira lima sesi setiap hari dan lima hari bekerja seminggu.

Oleh itu, dalam tempoh lawatan sosial ke negara ini selama tiga bulan, golongan itu mampu meraih pendapatan hampir RM300,000 sebelum keluar ke negara lain termasuk ke Thailand, Singapura dan Indonesia.

Berwajah cantik, muda, tinggi lampai serta memiliki tubuh badan seksi, wanita Uzbekistan berada dalam kelas tersendiri

Sedekad sebelum ini, wanita yang juga digelar 'kuda putih' itu kurang diminati di negara-negara Asia, bagaimanapun arus perubahan kemodenan kini mengubah 'selera' lelaki Asia.

Malah, lelaki-lelaki yang mendapatkan perkhidmatan mereka bukan calang-calang, hanya terdiri daripada golongan kenamaan, ahli perniagaan dan berkemampuan sahaja.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat hiburan sekitar ibu negara baru-baru ini, berjaya mengesan kelibat tiga wanita Uzbekistan, dipercayai sedang mendapatkan pelanggan.

Dalam tinjauan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mereka bertiga kelihatan bergerak mencari 'sasaran' dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain di sepanjang Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee.

Usaha seorang wartawan lelaki untuk mendekati mereka sekadar dipandang 'sebelah mata'. Ini meyakinkan andaian bahawa 'kuda putih' itu hanya memilih untuk melayan lelaki yang bergaya hidup mewah.

Tidak lama selepas itu, mereka keluar daripada pusat hiburan itu dan menyelusuri jalan terbabit sebelum menyapa seorang lelaki 'berada' lalu beredar.

Seorang pekerja pusat hiburan yang hanya mahu dikenali sebagai Adi mendakwa, golongan pelacur Uzbekistan mengamalkan gaya hidup mewah dan ia boleh dilihat melalui penampilan dari hujung rambut hingga kaki.

"Cara mereka menggoda pun ada 'kelas', bukan seperti pelacur jalanan lain. Mereka tidak akan berpeleseran di tepi-tepi jalan, biasanya melepak sambil minum di pusat-pusat hiburan di ibu negara.

"Golongan itu juga akan memilih lelaki tertentu sahaja sebagai pelanggan. Lelaki yang membawa mereka pula akan dianggap hebat dan ada 'kelas'," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja pusat hiburan di Jalan P. Ramlee yang mahu dikenali sebagai Mat Perlis memberitahu, ada juga pelacur warga Uzbekistan yang bergerak secara sendiri, tanpa ejen.

"Mereka menetap di pangsapuri servis sekitar Bukit Bintang dan menjalankan kegiatan pelacuran di hotel-hotel mewah di ibu negara. Kos hotel, makan dan minum serta pakaian ditanggung pelanggan.

"Ini bermakna, seorang pelanggan perlu berbelanja lebih daripada RM1,000 yang dikenakan," jelasnya.

Seorang pemandu teksi yang enggan dikenali menceritakan pengalamannya membawa pelacur Uzbekistan bersama seorang lelaki tempatan ke sebuah hotel.

"Wanita itu saya ambil di sebuah pusat hiburan bersama seorang lelaki dan meminta dihantar ke sebuah hotel mewah.

"Dia kemudian meminta saya mengambilnya semula selepas satu jam dan menghantarnya kembali ke pusat hiburan terbabit," katanya.

Katanya, rakan-rakan pemandu teksi yang lain turut berkongsi pengalaman sama membawa wanita-wanita Uzbekistan ke hotel-hotel mewah dan pulang semula ke pusat hiburan berkenaan selepas sejam atau dua jam kemudian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, di sebalik wajah cantik pelacur Uzbekistan ini, sebenarnya mereka memiliki sifat panas baran dan mampu bertindak ganas.

"Terdapat laporan yang diterima daripada lelaki-lelaki yang menjadi pelanggan wanita terbabit mendakwa mereka ditendang setelah gagal membayar seperti dijanjikan.

"Wanita Uzbekistan pantang jika ada pihak lain yang memungkiri janji," katanya.

No comments: