LAPORAN KHAS
ARKIB : 05/10/2009
Wajah cantik, tubuh menggiurkan
WANITA-wanita muda dan cantik dari negara Uzbekistan kebiasaannya akan meninggalkan negara mereka pada musim sejuk.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pernahkah anda terserempak dengan wanita Asia Tengah di negara ini? Kulitnya yang halus dan putih gebu serta tinggi lampai bak seorang model pasti membuatkan seseorang lelaki menoleh dua kali.
Namun secara sedar atau tidak, kelebihan itulah juga digunakan oleh sebahagian mereka ini untuk meraih keuntungan dalam kegiatan pelacuran di negara ini.
Malah permintaan terhadap wanita yang digelar ‘kuda putih’ itu terutamanya dari Uzbekistan kini menduduki tangga tertinggi dalam kategori pelacur atasan di Malaysia, tidak seperti ‘China Doll’ atau wanita warga China yang hebat dari segi kuantitinya saja.
Perkara itu didedahkan oleh Jabatan Imigresen yang mula mengesan kemasukan wanita Asia Tengah sejak 2005, dipercayai untuk tujuan pelacuran dan ia meningkat sejak dua tahun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, meskipun jumlahnya tidak begitu besar, namun trend kemasukan mereka perlu dibendung.
Katanya, pada 2007, seramai sembilan warga Uzbekistan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti melanggar syarat pas atau permit dengan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
“Ada juga yang memasuki negara tanpa permit sah, masuk dan keluar melalui jalan yang tidak diwartakan selain terlibat dalam jenayah di bawah akta itu.
“Pada 2008 pula, seramai 17 warga Uzbekistan telah ditahan Imigresen, Turkmenistan (seorang) dan Kazakhstan (empat),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Ditanya punca peningkatan wanita Asia Tengah khususnya Uzbekistan itu, Abdul Rahman berkata, ia didorong kerana wujudnya permintaan terhadap mereka.
“Ada yang inginkan ‘kelainan’ dan sebagainya. Selain itu, kejelitaan mereka adalah faktor utama, malah ramai ratu cantik berasal dari negara itu.
“Walaupun tidak pandai berbahasa Inggeris, tetapi ia tidak menjadi penghalang. Selepas ke negara ini, mereka yang biasanya datang antara tiga dan empat orang akan ke negara lain pula.
“Kebiasaannya, wanita Asia Tengah ini berusia 20-an hingga awal 30-an akan keluar dari negara mereka pada Mei, Jun, Julai dan Ogos kerana musim sejuk,” katanya lagi.
Menurut beliau, hasil risikan, kehadiran golongan itu dikesan di hotel-hotel ternama di ibu negara seperti di Jalan Ipoh selain beberapa lokasi lain termasuk Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang.
Kata Abdul Rahman, modus operandi (MO) digunakan oleh wanita itu ialah menghubungi ejen-ejen sindiket di sini sebelum mereka berlepas dari negara mereka.
Beliau berkata, sebaik sahaja tiba, wanita tersebut akan terus ke hotel sebelum bertemu ejen itu yang kemudian akan membawa mereka ke lokasi lain.
“Pelacur-pelacur itu akan dipindahkan ke tempat lain yang disediakan ejen berkenaan sebelum mula menjalankan kegiatan pelacuran. Kebiasaannya wanita itu akan dihantar ke hotel yang disediakan pelanggan.
“Wanita-wanita itu akan berada di negara ini dan menjalankan kegiatan pelacuran dalam tempoh tiga bulan lawatan sosial sebelum ke negara lain pula,” katanya.
Abdul Rahman memberitahu, biasanya ketika ditahan, mereka hanya akan didakwa kerana menetap di negara ini lebih daripada tempoh diberikan.
“Kebiasaannya, mereka sangat berhati-hati dan tidak mahu terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah atau kesalahan. Mereka akan memastikan rekod bersih untuk kembali semula.
“Selain itu, mereka yang datang sebagai pelajar, tidak mahu kegiatan tersebut dikesan dan menimbulkan masalah,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment